Friday, March 7, 2008

Arsenal singkir juara; MU, Barcelona mara


PARIS: Arsenal mencipta apa ditakrif sebagai persembahan paling hebat di bawah bimbingan Arsene Wenger selepas menyingkirkan juara bertahan, AC Milan 2-0 dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah untuk layak ke suku akhir kejohanan itu, awal pagi semalam.

Dua jaringan lewat babak permainan daripada Cesc Fabregas dan Emmanuel Adebayor � yang pertama bagi penyerang Togo dalam kejohanan benua itu membuat wajah pengurus The Gunners itu bertambah yakin apabila menyuarakan barisan didiknya itu mampu menjulang trofi di Moscow, Mei ini.

"Kami menghasilkan apa yang kami mahukan," kata Wenger.


"Arsenal sudah layak ke suku akhir dan kenapa tidak kami menjuarai kejohanan kali ini. Kejohanan ini memang liat tetapi anda harus berdepan gelora ganas saingan ini."

Manchester United � pencabar Arsenal bagi mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) � turut ceria layak ke kelompok lapan terakhir selepas menewaskan Lyon 1-0 di Old Trafford bagi agregat 2-1 dengan jaringan tunggal menerusi bintang Portugal, Cristiano Ronaldo. Ia juga gol ke-30 dalam 30 perlawanan untuk pemain sayap lincah itu.

Barcelona membuat satu lagi langkahan positif ke arah merampas semula mahkota dimenangi pada 2006 dengan menewaskan Celtic dari Scotland 1-0 hasil jaringan awal Xavi untuk mara dengan agregat 4-2 manakala wakil Turki, Fenerbahce turut menyajikan persembahan hebat menewaskan kelab Sepanyol, Sevilla menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat agregat 5-5.

Apapun, malam menjadi milik Arsenal yang berjaya melepasi halangan terbesar dengan gol sumbangan Fabregas dan Adebayor - kejayaan yang harus menjadi penawar duka selepas rentetan tanpa kemenangan dalam EPL.


"Saya amat berbangga. Adalah hebat bagi pasukan muda ini menyingkirkan barisan ternama seperti Milan yang bermain sebagai juara bertahan di gelanggang mereka," katanya.

"Ini petanda baik bagi pasukan masa depan dan juga untuk individu."

Pengurus AC Milan, Carlo Ancelotti pula kini sudah melihat ke arah kabinet kosong, kecuali gelaran Piala Super Eropah dan Piala Kelab Dunia yang dimenangi musim ini.

"Saya tidak menjangkakan sesuatu seperti itu," katanya apabila diajukan persoalan sama ada dia akan berdepan tekanan untuk meninggalkan pasukan.

Barcelona pula layak tetapi bimbang dengan kecederaan yang melanda pemain bintang mereka dari Argentina, Lionel Messi yang mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh sebulan, termasuk bagi perlawanan pertama suku akhir nanti.

"Kecederaan Messi membayangi kejayaan pasukan. ia memberi kesan kepada semua," kata jurulatih Frank Rijkaard. � AFP

No comments: