Kuala Lumpur, 9 Mac - Dalam tempoh pasca-pilihanraya yang begitu penting ini, Parti Keadilan Rakyat berazam penuh, dengan tekad yang padu, untuk bekerjasama dengan pasangan-pasangan mereka dengan semangat muafakat yang jitu. Di samping itu, bertepatan dengan persefahaman yang telah mereka capai dengan pasangan pilihanraya kami, DAP dan PAS, KeADILan tidak menggalakkan sebarang spekulasi tentang calon-calon yang mungkin dipilih untuk menjawat jawatan dalam kerajaan negeri, sehinggalah perlantikan tersebut diumumkan secara awam setelah selesainya proses perundingan dan persetujuan semua parti yang terlibat.
Begitulah yang ditegaskan Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, dalam kenyataan media mereka hari ini, yang disampaikan oleh Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.
Menurut mereka, prinsip-prinsip asas PKR adalah bertunjangkan pentadbiran yang mantap, pertumbuhan ekonomi yang yang kukuh, keselamatan rakyat, perlindungan golongan miskin, dan akses kepada pendidikan untuk semua.
Kata mereka lagi, dalam memperjuangkan prinsip-prinsip ini, KeADILan tegas dalam pendirian menentang semua bentuk perkauman serta perpecahan etnik dan agama; di samping merealisasikan potensi ekonomi Malaysia yang sebenar dengan membasmi rasuah dan penyelewengan dalam sektor awam dan swasta.
“Kami percaya bahawasanya pasangan kami dalam pakatan pilihanraya ini, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), turut sama memperjuangkan prinsip-prinsip asas ini, dan perjuangan bersama inilah menjadi tunjang kepada kerjasama kami sepanjang ini demi membawa arus perubahan kepada negara Malaysia,” tegas mereka lagi.
Majlis Tertinggi KeADILan turut percaya bahawa pasangan-pasangan KeADILan berkongsi azam yang serupa.
“Hanya keputusan yang diambil bersama serta tindakan padu dari semua pihak sahajalah yang akan dapat benar-benar mengetengahkan kepentingan rakyat yang kami wakili bersama-sama.”

No comments:
Post a Comment