JURULATIH kebangsaan, B Sathianathan masih menunggu surat pengesahan daripada kelab Manchester United untuk berkunjung bagi misi latihan kejurulatihan tiga minggu di Old Trafford.
“Ia bukan mudah untuk memperoleh peluang ‘berguru’ di sana, mereka juga perlu merangka waktu yang sesuai buat saya kerana ketika ini United terbabit dalam tiga kejohanan utama, Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan juga Liga Juara-juara Eropah.
“Oleh itu pihak pengurusan United juga sedang menguruskan beberapa perkara seperti logistik untuk saya bersama-sama dengan pasukan itu. Apapun, saya tidak bimbang kerana saya ada berhubung dengan pegawai United dan mereka sudah memberi pengesahan sudi menerima kehadiran saya nanti.
“Ketika ini, saya sedang menanti surat daripada pihak pengurusan Manchester United kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mendapat lampu hijau,” kata Sathia, semalam.
Sementara itu, Sathia mengesahkan dia akan turut menyertai klinik bola sepak bersama bekas penyerang Liverpool Ian Rush dari 24 sehingga 26 Mac ini di Kompleks Majlis Sukan Negara, dan 27 pemain tempatan sudah dijemput menyertai klinik itu.
Antara pemain dijemput ialah, Safee Sali, Akmal Rizal, Indra Putra Mahayuddin, Khyril Muhymeen Zambri, Khalid Jamlus dan Zaquan Adha Abdul Radzak.

No comments:
Post a Comment