
KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi pelbagai masalah rakyat termasuk banjir.
Perdana Menteri berkata kerajaan membuat perancangan yang teliti untuk memastikan masalah yang dihadapi rakyat itu diselesaikan walaupun terpaksa membelanjakan wang banyak serta mengambil masa panjang untuk menyempurnakannya.
Penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir menanggung kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda, kemusnahan tanaman dan ternakan serta infrastruktur dan setiap kali hujan lebat, musibah itu akan berlaku jika ia tidak ditangani dengan cara yang bijak, katanya ketika merasmikan Ampang Jajar Sungai Muda dan projek tebatan banjir Sungai Muda Fasa II di Rantau Panjang, di sini hari ini.
“Kami amat prihatin kepada kesusahan ditanggung oleh rakyat. Oleh itu kerajaan mengadakan rancangan tebatan banjir yang kekal dan tahan lama bagi membantu rakyat terjejas dengan kejadian itu,” katanya.
Abdullah berkata peruntukan kira-kira RM1 bilion setahun untuk membantu mangsa banjir menunjukkan kesungguhan kerajaan memulihkan keadaan rakyat yang terjejas.
Bagi mengurangkan masalah banjir yang kerap melanda kawasan di sepanjang Sungai Muda, Abdullah berkata kerajaan membelanjakan RM1.2 bilion untuk meluruskan sungai, membina benteng, menaiktaraf jambatan, struktur serta memindahkan penduduk di kawasan yang terlibat di Pulau Pinang dan Kedah.
Projek itu terbahagi kepada dua fasa dan fasa pertama membabitkan kerja mendalam dan melebarkan Sungai Muda serta kerja berkaitan di Bandar Sik, Kuala Ketil dan Baling serta pembinaan Ampang Jajar, yang siap secara berperingkat mulai 2006.
Bagi fasa kedua dilancarkan hari ini, ia membabitkan kerja membina ban dari jambatan PLUS ke Jambatan Merdeka, mendalam dan melebar Sungai Muda dari Jambatan Sidam ke Jambatan Merdeka dan mendalam dan melebarkan Sungai Muda dari Ampang Jajar ke muara Sungai Muda, yang dijangka siap pada 2011.
Sungai Muda meliputi kawasan tadahan air seluas 4,210km persegi. — Bernama

No comments:
Post a Comment